Sumber Gambar: www.voanews.com
GLOBAL

Amerika Syarikat dilanda wabak selsema terburuk sejak 2009

GLOBAL: Sekurang-kurangnya 37 kanak-kanak maut apabila wabak demam selesema kini merebak di Amerika Syarikat (AS) dan mengakibatkan paling ramai penduduknya mendapatkan rawatan sejak AS dilanda pandemik ‘selesema babi’ pada 2009, kata beberapa pegawai.

Pada tahun ini, virus selesema yang kerap menjangkiti orang ramai ialah H3N2 dengan hampir setiap negeri di AS terjejas, kata Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC), lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Sejak tiga minggu lalu, seluruh negara berdepan bilangan kes demam se­lesema yang banyak dan pada masa yang sama,” kata Pengarah Divisyen Influenza di Pusat Kebangsaan Imunisasi dan Penyakit Pernafasan yang merupakan sebahagian daripada CDC, Dan Jernigan kepada pemberita dalam satu sidang video.

“Ia menandakan jangkitan selesema terbesar sejak tahun 2009,” tambahnya.

Sejumlah 6.6 peratus daripada keseluruhan penduduk AS pergi ke klinik dan jabatan kecemasan bagi mendapatkan rawatan disebabkan demam selesema, katanya.

“Ia merupakan angka tertinggi yang direkodkan sejak pandemik pada tahun 2009, sebanyak 7.7 peratus,” kata Jernigan.

Sumber Gambar: www.voanews.com

Wabak H1N1 pada 2009 yang juga dikenali sebagai selesema babi tersebar di 206 buah negara dan wilayah serta membunuh lebih 6,770 orang, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Sebahagian besar kes selesema pada tahun ini dihidap oleh golongan warga emas berusia 65 tahun dan lebih tua serta mereka yang lahir selepas Perang Dunia Kedua, berusia antara 50 hingga 64 tahun.

Musim demam selesema di AS lazimnya berlaku dari bulan Oktober hingga Mei.

“Pada musim-musim selesema lalu yang juga seperti ini, kami menganggarkan pada penghujung musim, seramai 34 juta penduduk AS menghidap selesema,” kata Jernigan lagi.

Purata kira-kira 56,000 orang meninggal­ dunia akibat jangkitan virus H3N2 pada musim selesema masa lalu, tambahnya.

SUMBER: AFP


Pengarang :