ADEN 1 FEB: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan kebimbangan terhadap lebih 40,000 rakyat Yemen yang mencari perlindungan di bandar kedua, Aden hanya untuk mendapati mereka terperangkap dalam pertempuran maut antara pihak tentera dan pejuang pemisah.
Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Suruhanjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR) berkata, mereka tidak dapat menyalurkan bantuan sejak pejuang pemisah menguasai hampir keseluruhan bandar Aden pada hujung minggu sekali gus membuka medan pertempuran baharu dalam perang saudara tiga tahun di Yemen.
“Pengagihan bantuan kecemasan UNHCR dan penilaian kemanusiaan yang dirancangkan minggu ini untuk rakyat Yemen yang terdedah kepada bahaya, kini terpaksa ditangguhkan dan kargo bantuan kemanusiaan UNHCR masih berada di pelabuhan Aden tanpa dapat diedarkan,” kata agensi itu di laman Twitter.
“Kami turut bimbang dengan nasib penduduk yang baru tiba di Aden yang telah melarikan diri ke kawasan lain di Yemen. Lebih daripada 40,000 orang melarikan diri ke Aden dan bandar berdekatan sejak Disember. Malah, kami menjangkakan lebih ramai yang akan terus melarikan diri di pantai barat,” tambah agensi itu.
Kumpulan pemisah yang telah bersekutu dengan kerajaan Presiden Abdul Rabbu Mansour Hadi, melancarkan serangan di Aden pada Ahad lalu dan dengan pantas mengatasi pasukan tentera serta mengepung istana presiden.
Aden telah menjadi ibu pejabat bagi kabinet Abdul Rabbu sejak tahun 2015, apabila pemberontak Syiah menguasai ibu negeri Sanaa dan kebanyakan kawasan utara.
Abdul Rabbu kini menetap di Arab Saudi yang membawa kepada campur tangan tentera dalam sokongan terhadap kerajaannya sejak 2015.
Pertubuhan kebajikan antarabangsa, Save The Children kelmarin berkata, pihaknya terpaksa menggantung tugas-tugas di Aden berikutan kebimbangan terhadap keselamatan kakitangannya.
Sebelum pertempuran terbaharu itu, Yemen sudah pun berdepan krisis kemanusiaan paling serius di dunia dengan kira-kira 8.4 juta daripada 22.2 juta populasi penduduknya berisiko mengalami kebuluran, menurut PBB.
SUMBER: AFP