SELANGOR

FESBUK’18 lebih menarik, 50,000 pengunjung dijangka hadir

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 2 FEB: Seramai 50,000 pengunjung disasarkan membanjiri Festival Buku dan Kanak-Kanak 2018 (FESBUK’18) berbanding 30,000 pengunjung pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, kali ini pihaknya menjanjikan sesuatu yang lebih besar dan lebih baik.

“Pelbagai program dan pengisian menarik disusun khas menggunakan pendekatan ‘education and entertainment’ atau “edutainment” yang memberi peluang kepada kanak-kanak belajar dalam keadaan menghiburkan.

“Antara aktiviti dijadualkan adalah karnival jualan buku, scooter ride, archery, wall climbing, sand art, derma darah, pertunjukan fesyen kanak-kanak, pertunjukan superhero Marvel dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan FESBUK’18 di SACC Mall, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate (PREC) Fakru Radzi Ab Ghani dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazalan Md Noor.

Dr Noraida berkata, pada tahun ini konsep ‘Adiwira Membaca’ diperkenalkan di mana watak adiwira atau superhero dilihat sangat dekat dan mesra dengan kanak-kanak.

“Oleh itu, konsep ini diambil dengan sedikit perubahan bersesuaian bagi menarik minat serta medium menerapkan pola pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan kanak-kanak.

“Ia menjadi aspirasi kami untuk membina komuniti celik ilmu melalui amalan membaca, sekali gus mendidik masyarakat meningkatkan taraf hidup dan ilmu pengetahuan yang kepada seisi keluarga setiap hari.

“Semoga semua pihak terus konsisten memberikan sokongan terhadap FESBUK ini serta dapat bersama-sama kami membantu mempromosikan dan meluaskan lagi hebahan kepada semua,” katanya.

FESBUK’18 anjuran PREC dengan kerjasama PPAS, SACC Mall dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula pada hari ini hingga 4 Februari.

Memasuki tempoh empat tahun penganjuran, ia semakin mendapat perhatian masyarakat dengan penyertaan meningkat saban tahun bermula dengan penyertaan lebih kurang 15,000 hingga kira-kira 30,000 hadirin, pada tahun lalu.

Festival itu juga menyediakan kiosk jualan dan gerai bagi pengunjung mendapatkan pelbagai barangan khasnya bahan bacaan untuk kanak-kanak.


Pengarang :