PBTSELANGOR

MPAJ perlu kaji kelulusan gerai durian ganggu trafik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) digesa untuk mengkaji semula kelulusan membenarkan gerai durian di Taman Chempaka beroperasi di kawasan itu.

Ahli Dewan Negerinya, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata hal itu kerana banyak aduan berkenaan halangan kepada lalulintas kerana kenderaan pelanggan gerai terbabit diletakkan di tepi jalan.

Malah, katanya, tong yang terdapat di kawasan itu bukan sahaja dipenuhi kulit durian terapi juga sisa domestik.

“Ketika lawatan, saya dapati tong-tong itu dipenuhi bukan sahaja oleh kulit-kulit durian tetapi sampah domestik. Sampah-sampah itu berbau dan penuh dengan lalat dan langau.

“Saya mendapati dua tong sampah Roro gerai-gerai itu yang diletakkan di atas jalan raya.

“Oleh yang demikian, tidak hairan jika ketenangan penduduk tempatan terganggu dengan kehadiran gerai terbabit,” katanya yang mengadakan lawatan ke kawasan itu, semalam.

Iskandar berkata MPAJ pernah mencadangkan kawasan tersebut menjadi pusat penjualan buah-buahan tempatan tetapi tidak mendapat sokongan dari Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kesejahteraan penduduk tempatan dan keselamatan diberi keutamaan.

“Pusat Khidmat saya akan mengadakan satu mesyuarat dengan MPAJ dan penduduk untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini.

“Gerai-gerai tersebut sepatutnya diletakkan jauh dari penduduk. MPAJ perlu cari satu tapak baru untuk mereka,” katanya.

=EZY=


Pengarang :