SELANGOR

Penat lelah industri makanan bawa pulangan lumayan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 FEB: Peluang menjana pendapatan lumayan disamping memenuhi keperluan asas industri makanan negara menjadi faktor tarikan buat usahawan Agro Generasi Muda Negeri Selangor (AGROGEMS), Siti Nurnajwa Nazeri menceburi bidang pertanian.

Walaupun pernah bekerja dalam industri cari gali minyak dan gas (Oil & Gas) hampir dua tahun, minat mendalam terhadap industri pertanian menyaksikan kejayaan beliau mengusahakan Projek Pertanian Fertigasi dan Konvensional Bagi Tanaman Cili, Timun dan Peria sejak tiga tahun lalu.

“Industri Pertanian penting terutama bagi menyediakan keperluan makanan untuk semua peringkat.

“Cabaran untuk kita sebagai usahawan adalah untuk mengeluarkan lebih banyak hasil bagi memastikan harga pasaran stabil. Jika berlaku kekurangan, harga akan naik,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, beliau memilih tanaman fertigasi kerana ia memerlukan tenaga kerja yang rendah selain kecanggihan teknologi bagi meningkatkan hasil keluaran.

Penerima Anugerah Usahawan Harapan AGROGEMS, Jabatan Pertanian Negeri Selangor 2018 mempunyai tanaman 13,000 polibeg di atas tanah seluas 3.8 ekar dengan hasil keluaran 0.8 tan sehari untuk keperluan pasaran tempatan.

Siti Nurnajwa yang memulakan bidang pertanian secara sambilan berkata, beliau kini dalam proses untuk mengembangkan pertanian ke arah tanaman jagung manis seluas tiga ekar.

Bagi penerima Anugerah Prestasi Terbaik AGROGEMS Jabatan Perkhidmatan Veterina, Mohd Asmeezee Abdul Rahman, bantuan diterima sejak menyertai program AGROGEMS berjaya mengembangkan penternakan ayam kampung yang diusahakan bersama keluarga sejak 2015.

“Pada 2016, saya mendapat bantuan penambahbaikan reban daripada Jabatan Veterina.

“Dahulu reban yang ada mampu menampung 200 ekor ayam kampung dan kini meningkat kepada 1,000 ekor di kawasan ternakan berkeluasan suku ekar,” katanya.

Katanya, ayam kampung perlu mencapai berat minima 900 gram dan tidak melebih 1.5 kilogram untuk dipasarkan kepada pelanggan.

Menurutnya, jika ayam kampung mempunyai berat melebihi 1.5 kilogram, beliau akan mengalami kerugian dari segi makanan dan boleh mengurangkan hasil jualan.

Menyentuh soal kebersihan reban, beliau menggunakan teknologi Effective Microorganisme bagi mengawal pencemaran bau.

Mohd Asmeezee yang masih bekerja sebagai pelukis pelan berhasrat untuk mengembangkan perniagaannya dalam sektor penyediaan ayam berempah dan sejuk beku bagi memantapkan lagi keperluan pasaran tempatan.

=EZY=


Pengarang :