BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor terima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang

HULU LANGAT, 24 FEB: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang (Honorary Degree of Doctor of Laws) oleh University of Nottingham.

Majlis graduasi berlangsung di University of Nottingham Malaysia Campus di Semenyih, Hulu Langat.

Dalam titah ucapan sebaik menerima Ijazah Kehormat daripada Naib Canselor University of Nottingham Profesor Shearer West, Baginda menggariskan betapa pentingnya pendidikan dalam membentuk sahsiah dan masa depan sesebuah masyarakat.

“Beta ingin memetik moto yang digunapakai oleh University of Nottingham iaitu “A city is built on wisdom”.

“Beta suka dengan objektif moto ini kerana ia mengangkat kepentingan bidang pendidikan dalam usaha mencapai kebijaksanaan, yang merupakan elemen terpenting dalam pembangunan insan.

“Ia juga membawa nilai yang hampir sama dengan moto yang digunapakai oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) di mana Beta bertindak selaku Canselor, iaitu “Berilmu Berbakti” atau “With Knowledge, We Serve”,” titah Baginda.

Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dan berbesar hati di atas penganugerahan ini yang juga satu penghormatan buat sekalian rakyat negeri Selangor.

Untuk rekod, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga adalah pemegang Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Awam yang dianugerahkan kepada beliau oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2001.

Antara bekas pelajar yang juga alumni University of Nottingham di kalangan kerabat diraja ialah Raja Permaisuri Agong Ke-5 yang juga Sultanah Kedah, Almarhum Sultanah Bahiyah; Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Ke-9 yang juga Sultan Perak , Almarhum Sultan Azlan Shah; dan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Ke-10 yang juga Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Jaafar.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muhibbudin Shah turut dianugerahkan Ijazah Kehormat oleh University of Nottingham pada tahun 2016, manakala penerima tahun lalu ialah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia.


Pengarang :