SELANGOR

Smart Selangor First Home Buyers bantu rakyat miliki rumah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 FEB: Skim ‘Smart Selangor First Home Buyers’ menyediakan kemudahan pembiayaan wang pendahuluan kepada rakyat bagi memiliki Rumah Selangorku dimajukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, menyedari masalah orang ramai bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM15 juta bagi menjayakannya.

“Skim ini mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan PKNS diberi mandat bagi melaksanakannya bagi membantu golongan sasaran.

“Ia banyak membantu bakal pembeli mendapatkan bayaran pendahuluan 10 peratus secara pinjaman khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah kerana biarpun bilangan rumahnya banyak tetapi menghadapi masalah dinyatakan,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran skim berkenaan di SACC Mall di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat satu jawatankuasa akan menapis dan menilai permohonan calon yang berdaftar dengan PKNS serta Lembaga Perumahan dan Hertanah Selangor (LPHS) bagi tujuan itu.

Apabila permohonan dilulukan, katanya, calon layak akan mendapatkan bantuan bayaran pendahuluan itu yang akan disalurkan melalui Hijrah Selangor manakala pinjaman selebihnya perlu dipohon menerusi institusi kewangan.

“Ia diuruskan berdasarkan kaedah Special Purpose Vehicle (SPV) dengan melantik Yayasan Hijrah Selangor sebagai agen pengurusan dan bertanggungjawab mengutip semula pinjaman yang dijangka memberi manfaat kepada 1,000 orang berdasarkan harga pembelian rumah.

“Atas dasar keprihatinan kepada rakyat, skim ini membantu meringankan bebanan rakyat untuk memiliki kediaman sendiri dan merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang menyarankan untuk sebuah keluarga di Selangor mempunyai sekurang-kurangnya sebuah rumah untuk didiami,” katanya.

Beliau berkata, apa yang menarik pemohon hanya perlu membayar jumlah pinjaman 10 peratus tanpa dikenakan sebarang caj perkhidmatan atau faedah.

Program itu dirasmikan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

=EZY=


Pengarang :