PBTSELANGOR

MPAJ keluar 494 kompaun lesen perniagaan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 25 FEB: Sebanyak 494 kompaun di keluarkan Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ke atas pemegang lesen yang gagal memperbaharuinya sebelum 31 Disember tahun lalu.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata,tindakan operasi dan penguat kuasaan ke atas pemegang lesen itu bermula sejak 2 Januari lalu.

“Sebanyak 494 kompaun dikeluarkan dengan nilai sebanyak RM100,600.

“Sebelum ini Jabatan Perlesenan sudah memberikan syarat supaya lesen perlu diperbaharui tiga bulan sebelum tamat tempoh,” katanya dalam mesyuarat MPAJ, baru-baru ini.

Terdahulu, Hamid berkata, pemilik premis boleh dikenakan kompaun kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen selaras peruntukan Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPAJ) 2008 (UUK) (3) jika melakukan pembaharuan selepas tamat tempoh.

Katanya, kadar kompaun adalah RM2,000 bagi tempoh Januari sehingga Mac dan RM700 bermula April ini.

Sehubungan itu, pemilik perniagaan diingatkan untuk memperbaharui lesen perniagaan dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan lanjut dikenakan.

 


Pengarang :