PBTSELANGOR

Jalan ditutup sempena Program 60+ Earth Hour

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menutup sebahagian jalan bagi melancarkan Program 60+ Earth Hour Peringkat Shah Alam 2018 pada 24 Mac (Sabtu) ini di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, jalan ditutup sementara mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah malam untuk kerja-kerja persiapan dan semasa acara berlangsung.

“Jalan terlibat adalah Jalan Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan). Justeru, pihak Majlis menyeru orang ramai supaya tidak menggunakan jalan yang dinyatakan pada tempoh berkenaan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Orang ramai diminta sentiasa mematuhi arahan dari masa ke semasa yang diberikan oleh pihak MBSA. Kami juga memohon agar pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi yang hendak ditujui,” katanya.

Earth Hour adalah sebagai simbolik sokongan terhadap usaha World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia untuk menyelamatkan bumi daripada pencemaran alam sekitar.

Ia juga komitmen berterusan pihak Majlis bagi mendidik masyarakat khususnya komuniti Shah Alam bersama-sama berganding bahu mengamalkan sikap tanggungjawab dalam memulihara keseimbangan alam sekitar.

Dalam program itu, pemilik premis di sekitar Shah Alam diminta memadamkan lampu bangunan yang bukan lampu utama di premis masing-masing dalam tempoh satu jam bermula jam 8.30 malam sehingga 9.30 malam.

=EZY=


Pengarang :