GLOBAL

Ratusan jongkong emas 3.4 tan terjatuh dari pesawat

GLOBAL 24 MAC: Ratusan jongkong emas bertaburan di sebuah lapangan terbang di Rusia selepas terjatuh dari sebuah pesawat kargo yang membawa muatan 9.3 tan emas.

Kejadian itu berlaku di lapangan terbang di Yakutsk, Siberia pada Khamis lalu apabila pintu pesawat tiba-tiba terbuka, menyebabkan hampir 200 jongkong emas bertaburan di atas landasan.

“Pintu kargo mengalami kerosakan ketika berlepas dan semakin tinggi pesawat naik ke udara, pergerakan di dalam kargo meningkat, sekali gus mengakibatkan sebahagian emas bertaburan di landasan,” menurut jawatankuasa Siasatan Rusia.

Ekoran kejadian itu, pesawat tersebut terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang, sementara polis segera menutup kawasan itu bagi mengelak jongkong emas itu diambil penduduk tempatan.

“Dianggarkan sebanyak 172 jongkong emas seberat 3.4 tan ditemui.

“Hanya sebahagian daripada jongkong emas yang terjatuh, daripada kira-kira sembilan tan yang terdapat di dalam pesawat tersebut,” kata wakil Kementerian Dalam Negeri kepada agensi berita TASS.

Jongkong emas itu dibawa dari sebuah lombong di Kupol yang dikendalikan oleh syarikat perlombongan Kinross Gold yang berpangkalan di Kanada.

Dalam pada itu, tiada kehilangan kargo berharga dilaporkan.

Jurucakap syarikat itu, Stanislav Borodyuk memberitahu agensi berita Interfax bahawa tidak ada kerugian dicatatkan memandangkan semua jongkong emas telah berjaya dikutip semula.

SUMBER: AFP

Foto Sumber: Siberian Times

 


Pengarang :