BERITA UTAMASELANGOR

MB: Usaha penstrukturan semula industri air berjalan dan tidak terjejas

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Negeri meneruskan program penstrukturan semula industri air di Selangor yang berjalan seperti mana dirancang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan sama dikemukakan Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) terhadap Kerajaan Negeri, tidak menjejaskan usaha dijalankan itu.

“Kerajaan Negeri tampil ke mahkamah untuk membatalkan saman itu dan atas hujah bernas dan kukuh, Mahkamah Tinggi memutuskan pembatalannya pada 22 Februari 2018.

“Tindakan mahkamah membenarkan permohonan saya dan Kerajaan Negeri bagi membatalkan saman itu, telah berjaya menyelamatkan wang rakyat sebanyak RM14 bilion,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Puncak Niaga mengemukakan saman ke atas Kerajaan Negeri; mantan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dirinya sendiri kerana mendakwa menyalah gunakan kuasa dengan mengancam untuk menyebabkan Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 atau Akta 655 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.

Berhuhung penggantian paip lama, katanya kerja penyelesaiaan itu sedang berjalan dan ia adalah dalam senarai keutamaan bagi kawasan kritikal yang telah dikenal pasti pada 2016.

“Sebanyak 84 ‘hotspot’ dengan panjang paip 423 kilometer telah dikenal pasti dengan anggaran RM334.3 juta untuk projek penggantian paip lama dan pemasangan paip lama.

“Projek ini dijangka akan diselesaikan secara berperingkat dan disiapkan menjelang akhir tahun depan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Wan Azizah, Mohamed Azmin berkata, isu penstrukturan semula industri air dan masalah berkaitannya adalah perkara berbeza berbanding kemelut membabitkan pimpinan tertinggi negara ini.

Katanya, perkara dibangkitkan berhubung isu itu oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang juga adalah tidak wajar bersesuaian dengan kedudukannya sebagai penjawat awam.

“Memang saya mengikutinya, beliau bukan sahaja Ketua Setiausaha kementerian tetapi seorang ‘regulator’ terhadap usaha penstrukturan ini.

“Maka apabila beliau mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan mengikut fakta apatah lagi berbau politik, ia membimbangkan kita bukan sahaja bagi Selangor tetapi untuk negara bagi perkhidmatan air akan terjejas apabila ‘regulator’ bersikap tidak profesional untuk menyelesaikannya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :