NASIONAL

Penganalisis: Penolakan rakyat terhadap Umno-BN kuat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 MAC: Umno Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan keputusan persempadan baru yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam, kata Penganalisis Politik, Mohd Sayuti Omar.

Beliau berkata, senario pengundian rakyat kini tidak lagi berpihak kepada Parti Ketuanan Melayu itu, khususnya pengundi muda.

“Pengundi yang terbabit dengan persempadanan baru itu belum pasti semuanya akan mengundi BN.

“Umno Barisan Nasional hanya boleh mengubati kebimbangannya sahaja dengan pindaan yang penuh kontroversi tetapi tidak dapat menjamin kemenangan mudah.

“Sekiranya peratus mengundi tinggi di semua kawasan pindaan dilakukan hari ini (ia) tidak menjamin UBN akan selamat.

“Apa yang perlu dibimbangkan UBN ialah penolakan rakyat kepada UBN ke belakangan ini semakin ketara,” tulisnya di blognya.

Beliau berkata, pentadbiran Umno kini berdepan kemelut dalaman yang menyebabkan parti itu semakin hilang kredibiliti dan pengaruhnya.

Katanya, persekitaran politik baru itu juga membolehkan Pakatan terus meraih kepercayaan dan undi rakyat yang lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum 14 (PRU), depan.

“Perpecahan dalaman Umno berikutan wujudnya parti PBBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dilihat memberi masalah baharu kepada Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

=EZY=


Pengarang :