SELANGOR

MB ikrar berpegang teguh pertahan Islam dan Melayu

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 1 APR: Kerajaan Negeri tekad untuk tetap berpegang teguh dalam mempertahankan kemuliaan Islam juga kepentingan masyarakat Melayu, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau bersedia menghadapi apa jua cabaran dan rintangan walaupun terpaksa berhadapan serangan daripada pelbagai pihak.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri bertekad apa jua kekuatan mahupun serangan kepada saya, saya tetap berdiri teguh mempertahankan umat Islam, orang Melayu dan institusi Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pengusaha SAR Selangor, di Masjid Al-Syakirin, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, sebagai negeri penyayang, kepentingan masyarakat bangsa lain juga akan terus dipelihara dan sentiasa mendapat perhatian kerajaan Negeri.

Sementara itu, ketika mengulas kehadirannya, pada program pagi ini, beliau berkata ia bukan untuk menabur janji.

“Saya datang bukan untuk menabur janji tetapi kenyataan disebutkan tadi membuktikan dan menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus membela umat Islam dan Melayu, di Selangor,” katanya.


Pengarang :