GLOBAL

Ribuan guru tunjuk perasaan tuntut kenaikan gaji, dana awam

GLOBAL 3 APR: Ribuan guru turun ke jalan raya di Kentucky dan Oklahoma semalam, berhimpun dalam tunjuk perasaan terbaru oleh golongan pendidik Amerika Syarikat yang menuntut gaji lebih baik dan lebih dana untuk sekolah awam.

Golongan guru melakukan tunjuk perasaan di negeri dikuasai Republikan yang menyaksikan dana pendidikan dipotong sejak beberapa tahun lalu.

Mereka mendapat ilham daripada mogok sembilan hari yang memberikan guru di Virginia Barat kenaikan gaji pertama dalam masa empat tahun bulan lalu.

Guru di Arizona mengadakan perhimpunan lain lewat Mac lalu.

Penganjur meramalkan 30,000 mengambil bahagian di Oklahoma City, dengan imej udara televisyen menunjukkan orang ramai, dengan ramai daripada mereka memakai baju merah, berkumpul di bandar raya itu.

“Mesej hari ini adalah mengenai kanak-kanak. Ia mengenai dana pendidikan awam dan mengembalikan semula sokongan seumpama itu yang diperlukan kanak-kanak untuk belajar,” kata ketua sekolah Oklahoma, Joy Hofmeister kepada stesen televisyen KWTV.

Tunjuk perasaan semalam menyebabkan sebahagian kelas dibatalkan, dengan pentadbir tidak dapat mencari pengganti untuk memastikan sekolah terus dibuka.

Beberapa sekolah lain sudah ditutup berikutan cuti yang dijadualkan.

Sebahagian daerah berhadapan penutupan beberapa hari apabila guru berikrar meneruskan tunjuk perasaan sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

SUMBER: AFP


Pengarang :