NASIONAL

Tiga maut motosikal bertembung

OLEH SABIRAH AZIZ

KLANG, 5 APR: Seorang pelajar tingkatan dua antara tiga yang maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung di Jalan Banting-Pandamaran dari arah Pandamaran menghala ke Telok Gong, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 pagi itu, semua mangsa maut dikenali sebagai Aliff Danial Bakhtiar Affan, 14; Muhammad Shahrin Muhammad Rizal Sandah, 17; dan Khairul Johan Ridzo Mohd Joni, 26.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Y125R yang ditunggang Khairol Johan dari arah Telok Gong menghala ke Pandamaran bertembung dengan motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang Muhammad Shahrin dan dibonceng pelajar tingkatan dua itu.

“Motosikal dinaiki dua rakan itu dikatakan memasuki laluan bersebelahan menyebabkan Khairol Johan gagal mengelak lalu bertembung.

“Pertembungan kuat itu menyebabkan ketiga mangsa tercampak ke atas jalan. Semua mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Bedah siasat akan dijalankan jam 11 pagi hari ini di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Pengarang :