BERITA UTAMASELANGOR

Cara Najib bubar Parlimen dipersoal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 APR: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak membubarkan Parlimen pada hari yang sama dipersoalkan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan itu menimbulkan tanda tanya kepada semua pihak.

“Mengapa bubar hari ini? Tidak bubar semalam?

“Biasanya bila pengumuman dibuat akan berkuatkuasa pada hari yang sama. Perkara ini tidak patut berlaku.

“Di Selangor, kita belum bubar. Kita perlu menghadap Tuanku,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Integriti Pengurusan Masjid dan Surau negeri Selangor.

Semalam, Mohamed Azmin dalam kenyataan media memaklumkan akan menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tarikh yang diperkenan baginda untuk pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS).

Mohamed Azmin dalam kenyataan media memaklumkan, hal itu supaya proses Pilihan Raya Negeri Selangor ke-14 dapat diadakan.

Terdahulu, Najib mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selepas dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menetapkan tarikh pilihan raya akan berlangsung. Undang-undang menetapkan ia mesti dibuat dalam tempoh 60 hari.


Pengarang :