NASIONAL

63 suspek terbabit gangsterisme ditahan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 10 APR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dengan bantuan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc), Pasukan Taktikal Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (Stagg), D8 dan D9 Bukit Aman menahan 63 suspek menerusi dua operasi iaitu Ops Spider serta Ops Api Reload yang dilancarkan serentak, pada 29 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, melalui operasi itu, pihaknya mensasarkan untuk membanteras dan menahan ahli kumpulan jenayah terancang (KJT) yang bergiat aktif di sekitar negeri ini.

“Daripada 63 suspek ditahan, 36 daripadanya dari Ops Spider, manakala 27 orang dari Ops Api Reload. Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 60 tahun.

“Bagi Ops Spider, kami fokuskan kepada ahli kongsi gelap 08, manakala Ops Api Reload untuk ahli kongsi gelap 18,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Pada masa sama, Mazlan berkata, seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP), seorang sarjan major dan seorang konstabel polis turut ditahan dalam operasi dijalankan.

“Tangkapan ini dilaksanakan di beberapa negeri meliputi Selangor, Pahang, Perak, Kelantan, Johor, Melaka dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

“Kesemua suspek masih berada dalam tahanan reman selama 28 hari di bawah peruntukan Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012,” katanya.

Dalam operasi itu, JSJ Selangor turut berjaya merampas sepucuk pistol ‘Ceska Zbrojobka Praha’ 6.35mm bersama sebutir peluru, tujuh kenderaan pelbagai jenis, empat buah motosikal, barang kemas, 73 telefon bimbit, wang tunai RM17,000 dan parang.

Mazlan berkata, semua suspek bagi kedua KJT itu juga disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

“Pasukan Amla membekukan dan menyita 38 akaun bank, empat hartanah, 11 kereta, dua motosikal berkuasa tinggi, wang tunai RM16,828.70 dan 72 bentuk barang kemas bernilai RM100,000,” katanya lapor Sinar Harian.

Sementara itu, Mazlan berkata, JSJ Selangor masih giat mengambil tindakan susulan bagi mengesan saki baki ahli kumpulan terbabit dan kesemua mereka disenaraihitamkan sebagai individu dikehendaki.

Katanya, Polis Selangor yakin dapat melumpuhkan aktiviti dan struktur organisasi geng 01 serta 18 selepas penangkapan, baru-baru ini.

“Bagi Ops Api Reload, kami sedang mengenal pasti 11 suspek manakala Ops Spider, terdapat lagi 13 individu lain disyaki adalah saki baki ahli kumpulan terbabit,” katanya.


Pengarang :