NASIONAL

PAKATAN janji semak semula perjanjian dari China

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 APR: Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji menyemak semula pelaburan dan pinjaman dari China jika gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), pada 9 Mei ini.

Associated Press (AP) melaporkan, Malaysia mempunyai pinjaman besar dari China dan mungkin tidak dapat membayar balik.

“Kami merasakan akan berhenti meminjam. Kami akan cuba merundingkan semula syarat-syarat pinjaman.

“Dalam kes-kes projek (China), kami mungkin perlu mengkaji sama ada akan meneruskannya atau memperlahan atau merundingkan semula syarat-syaratnya,” katanya.

Terdahulu, PAKATAN menyatakan kebimbangan akan pelaburan China di Malaysia yang memakan kos perbelanjaan berbilion ringgit.

Ia termasuk projek bernilai RM55 bilion Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), yang mana 85 peratus pinjaman mudah disediakan oleh China Export-Import Bank (Exim Bank) .

Satu lagi projek yang dibiayai oleh China ialah Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM12.5 bilion.

Dilaporkan pada bulan Februari, China melabur RM4.77 bilion dalam 33 projek pembuatan tempatan dan juga terlibat dalam 22 projek pembangunan hartanah, dengan nilai pembangunan kasar terkumpul sebanyak RM581.2 bilion.

Putrajaya berulang kali menafikan pelaburan asing yang besar akan mengancam kedaulatan Malaysia.

Dalam temubual itu, Mahathir turut menyebut Sri Lanka memberikan hak pemilikan pelabuhan Hambantota ke China pada pajakan 99 tahun sebagai balasan atas bantuan hutang.


Pengarang :