NASIONAL

Pilih logo mata, dacing sudah karat…

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU KURAU, 4 MEI: Barisan Nasional (BN) dilihat tidak lagi berupaya menerajui tampuk pemerintahan negara ekoran pentadbiran lemah, ditambah sokongan rakyat yang kian terhakis.

Naib Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, logo dacing yang tertera pada bendera parti itu juga sudah goyah, malah secara sinis mengatakan ia senget dan berkarat.

“Di atas kertas undi nanti cuma ada dua parti sahaja. Lihat logo mata dan dacing sahaja. Logo lain tidak perlu lihat.

“Rakyat nanti tengok betul-betul logo dacing. Dacing itu sudah senget dan berkarat. Jadi jangan pilih logo itu. Pilih logo mata,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana KEADILAN di Tapak Pasar Malam Tanjung Piandang, malam tadi.

Logo mata merujuk kepada penggunaan logo KEADILAN yang digunakan sebagai satu simbol kepada komponen pembangkang lain yang dianggotai DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM).

Mohamed Azmin berkata, pemilihan rakyat terhadap calon yang menggunakan logo mata (PAKATAN) adalah tepat bagi meletakkan pembangunan Malaysia mampan, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Rakyat perlu sedar, kita perlu pangkah seorang calon daripada parti (PAKATAN) yang ada potensi untuk bentuk kerajaan.

“Kita perlu akui bahawa ia tepat dan tidak perlulah kita pangkah logo lain. Keutamaannya adalah calon kita yang mewakili PAKATAN mempunyai potensi mengurus negara.

“Apabila kerajaan baru itu dibentuk, inilah parti (PAKATAN) yang akan memenuhi aspirasi rakyat termasuk orang Melayu dan Islam,” katanya.


Pengarang :