SELANGOR

RM320 juta masuk poket rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

MELAKA, 8 MEI: Rakyat di Selangor menikmati keuntungan sebanyak RM320 juta dalam tempoh empat tahun apabila Kerajaan Negeri mengecualikan bayaran cukai taksiran.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, berbeza Barisan Nasional (BN) yang mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), langkah dipraktikkan Pakatan Harapan (PAKATAN) itu jelas menjaga kebajikan rakyat daripada golongan sasaran dan tidak memufliskan Selangor.

“Setiap tahun kita hilang hasil RM80 juta dan memasuki tahun keempat Kerajaan Negeri tidak mendapat hasil sebanyak RM320 juta.

“Ia bukan sedikit tetapi saya tidak bimbang kerana RM320 juta tidak masuk poket dan akaun peribadi saya tetapi masuk poket rakyat di Selangor,” katanya dalam program Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia ke Melaka di Kampung Solok Baroh, di sini, semalam.

Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, ia menyangkal dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menyatakan negara akan muflis sekiranya GST dimansuhkan.

Katanya, perkara sebegitu hanya akan berlaku sekiranya negara dipimpin pemimpin yang mengamalkan rasuah dan mencuri hasil negara.

Kerajaan Negeri mengecualikan bayaran cukai taksiran kepada penghuni di lebih kurang 500 kampung tradisi, bagan, baharu Cina dan semua rumah kos rendah di Selangor sejak empat tahun lalu.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menjayakan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dengan 42 program bagi membantu rakyat.

“Najib kata kalau GST dihapuskan negara akan bankrap tetapi di Selangor kita telah buktikan dengan tidak mengutip cukai daripada rakyat.

“Semakin banyak kita beri, semakin banyak (rezeki) Allah kurniakan kepada kita,” katanya yakin sokongan rakyat akan membantu PAKATAN membentuk Kerajaan Negeri di Melaka seterusnya Putrajaya dalam PRU14.

=EZY=


Pengarang :