NASIONAL

KEADILAN nafi hasut parti lain

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 MEI: KEADILAN tidak pernah menghasut mana-mana ahli parlimen mahupun ahli dewan undangan negeri dari parti lain untuk menyertai mereka.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya tidak mencari mahupun menggalakkan perkara itu seperti didakwa sesetengah pihak.

“Tetapi kalau sesiapa hendak datang mencari kami (KEADILAN), datang sajalah, kita boleh berjumpa secara baik,” katanya ketika sidang media di Pusat Rehabilitasi Cheras petang tadi.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan borang keahlian parti kepada tujuh ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Salah seorangnya, Larry Sng Wei Shien berkata, dia menyertai KEADILAN apabila melihat parti itu antara yang terbaik berkhidmat untuk rakyat.

“Saya bukannya datang selepas tahu PAKATAN menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.

Sementara itu, bagi Jugah Muyang, tindakan PRS yang memecat ahli sesuka hati membuatkan dirinya mula tawar hati.

“Bila berlaku sebegitu, sudah tentu rakyat marah, apatah lagi kami, jadi saya membuat keputusan untuk menyertai KEADILAN,” katanya.


Pengarang :