NASIONAL

Tiga maut, 25 cedera dalam kemalangan bas ekspres dan lori di Pagoh

PAGOH 3 JUN: Sekurang-kurangnya tiga maut dan 25 cedera selepas sebuah bas ekspres terbabit dalam kemalangan dengan lori kontena dan lori tangki di kilometer 142.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur keluar Pagoh, Johor.

Ketua Balai Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Muar, Marzuki Ismail berkata kejadian sekitar jam 1 petang itu, tiga mangsa yang maut itu dipercayai pemandu serta dua penumpang bas ekspres berkenaan.

Bagaimanapun identiti kesemua mangsa belum dikenal pasti, lapor ASTRO AWANI.

“Kita terima panggilan pada jam 1.08 petang sebelum lima jentera dengan kekuatan 23 anggota dari Balai Bomba Muar dan Bukit Gambir dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Operasi menyelamat tamat jam 2.10 petang tadi dan kita masih menyiasat punca kemalangan serta jumlah kerugian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kesemua mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Muar untuk menerima rawatan.

SUMBER: ASTRO AWANI


Pengarang :