Lembaga Tabung Haji kaji keperluan penstrukturan bayaran haji bersasar mengikut tahap kemampuan dan pendapatan jemaah.
NASIONAL

Tabung Haji disaran kaji semula pelaburan berkaitan 1MDB

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 JUN: Lembaga Tabung Haji (TH) disaran supaya mengkaji pelaburannya khasnya membabitkan pelaburan berkaitan syarikat sarat kontroversi, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, langkah itu perlu diambil bagi memastikan kewangan dan hala tuju Tabung Haji berada di landasan yang tepat selain memelihara kepentingan penyimpan.

“Kita kena tengok semula portfolio pelaburan TH. Kita kena pastikan pelaburan Tabung Haji itu mestilah diteliti supaya pulangan kepada pelabur boleh ditambahbaik.

“Nilaikan semula pelaburan terutamanya berkaitan 1MDB. Antaranya langkah membeli tanah pada harga yang tak wajar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Rosli berkata, selain itu TH juga wajar mempertimbangkan pelaburan melibatkan cabang perniagaan baru yang berpotensi menjana pulangan lebih baik kepada pendeposit.

Sebelum ini, TH dilaporkan membeli tanah pada nilai yang sangat tinggi bagi tujuan pelaburan hartanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).

TRX adalah projek yang dibangunkan 1MDB dan langkah membeli tanah oleh TH itu dilihat sebagai usaha menebus sebahagian hutang 1MDB yang bernilai RM42 bilion.

=EZY=

 


Pengarang :