SELANGOR

119 Guru, pelajar Yayasan Selangor terima 16 anugerah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 JUL: Seramai 119 guru dan pelajar tajaan Yayasan Selangor menerima 16 anugerah pelbagai kategori pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2017, hari ini.

Antara kategori terbabit adalah Pelajar Terbaik Keseluruhan 2017 yang dimenangi pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat, Amir Haziq Mohd Zulkurnain apabila berjaya memperolehi keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Manakala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Nur Yasmeen Rashdiah Nor Azman Rashed, pula memenangi Anugerah Pelajar Terbaik Aliran Kebangsaan apabila berjaya memperolehi keputusan 9A+ dan 1A pada peperiksaa SPM.

Pelajar sekolah MITS Kuala Langat, Ahmad Mujahid Mohd Fadli pula memenangi kategori Pelajar Terbaik SPM Aliran Agama selepas memperolehi keputusan 9A+ dan 2A.

Pelajar SMK Damansara Damai 1, Nafeesa Ziarat Khan pula memenangi kategori Pelajar Terbaik SPM (Program HIPERS) dengan keputusan 5A+, 3A dan 2A-.

Sementara itu, Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari pula memenangi kategori Sekolah Terbaik Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor dan guru sekolah sama, Faridatul Akma Saib turut menggondol kategori Guru Penyelaras Terbaik Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor.

SMK Damansara Damai 1 pula memenangi kategori Sekolah Terbaik Program HIPERS dan gurunya, Faizah Muhammed memenangi kategori Guru Penyelaras Terbaik Program HIPERS Sekolah Menengah.

Anugerah disampaikan Setiausaha Kanan EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi & Inovasi Selangor, Zafrullah Aris di majlis yang diadakan di Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam.


Pengarang :