ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

Jerebu – Bacaan IPU makin stabil di Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 OGOS: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini didapati semakin bertambah baik berbanding Jumaat lalu.

Pada 17 Ogos lalu, bacaan IPU tertinggi dicatatkan bagi kawasan Johan Setia, Klang iaitu mencecah 101, berada pada paras kualiti udara tidak sihat.

Namun melalui laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Johan Setia sehingga jam 1 petang tadi ialah pada 66, sebelum itu pada jam 10 pagi, bacaan adalah pada 67, ia sekaligus menunjukkan tahap kualiti udara di situ semakin baik.

Keadaan sama turut sama berlaku di lokasi lain termasuk Shah Alam, Petaling Jaya dan juga Putrajaya.

Bagaimanapun bacaan IPU tertinggi dicatatkan pada kadar 68 di Petaling Jaya, sementara Cheras, 66, Shah Alam, 65, Pelabuhan Klang, 64, Putrajaya, 62.

Mengikut laman web yang sama, bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Untuk maklumat lanjut mengenai bacaan IPU terkini seluruh negara, orang ramai boleh layari laman web apims.doe.gov.my.

 


Pengarang :