SELANGOR

PRK DUN Balakong: Siew Ki lancar tiga janji manifesto

OLEH AFIX REDZUAN

BALAKONG, 21 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki melancarkan manifesto yang menggariskan tiga janji jika mendapat mandat daripada rakyat, pada 8 September ini.

Janji pertama Siew Ki adalah akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan infrastruktur kawasan dapat dipertingkat untuk menyelesaikan permasalahan setempat seperti kesesakan trafik dan krisis air.

“Dalam perkara pertama, saya akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Kajang bagi menaiktaraf tebing Sungai Balak supaya dapat diwujudkan kawasan rekreasi.

“Saya akan cuba menyelesaikan masalah banjir kilat di Taman Indah dan Kampung Baru Balakong selain akan mencadangkan Jalan Balakong Batu 11 dan pelebaran simpang antara Jalan Bandar Tun ke Lebuhraya Grand Saga dinaiktaraf bagi mengatasi masalah kesesakan trafik,” katanya dalam sidang media, di Bilik Gerakan Utama DUN Balakong.

Dalam janji kedua, beliau juga akan mengukuhkan pembangunan kerjasama sesama komuniti dan kerajaan dengan menghidupkan semula peranan Majlis Persatuan Penduduk bersama Ahli Majlis.

Menerusi agenda ketiga, menggalakkan aktiviti kemasyarakatan dan mewujudkan identiti kampung baru, Siew Ki berjanji akan menjenamakan semula Pesta Balakong yang akan menampilkan pelbagai aktivti kebudayaan menarik serta memaparkan identiti setempat.


Pengarang :