The ash falls were so heavy that trees broke under the weight. Photo credit: @Seanirichards/@Scott_Waide/Twitter
GLOBAL

Letusan gunung berapi Papua New Guinea paksa 2,000 berpindah

PORT MORESBY 26 OGOS: Kepulauan gunung berapi di pantai utara Papua New Guinea meletus awal semalam, memaksa 2,000 penduduk kampung berpindah untuk mengelak aliran lahar.

Pulau Manam, yang cuma 10 kilometer luas, adalah antara gunung berapi paling aktif di negara Pasifik itu dan didiami 9,000 penduduk.

Tiga kampung berada dalam laluan aliran lahar dan penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat, kata pengarah Pusat Bencana Kebangsaan negara itu, Martin Mose.

Pemantau Gunung Berapi Rabaul (RVO) melaporkan letusan bermula jam 6.00 pagi waktu tempatan semalam, mengeluarkan abu setinggi 15 kilometer dari paras laut.

“Kawasan paling teruk terjejas adalah Baliau dan Kuluguma dan disebabkan kadar penglihatan amat teruk kerana abu, penduduk terpaksa menggunakan lampu suluh untuk bergerak,” kata RVO dalam buletin penerangan.

Seorang lagi pegawai RVO, Steve Saunders, berkata letusan besar itu luar biasa.

“Tiada kematian setakat ini tetapi menasihatkan penduduk untuk menjauhi kampung mereka kerana risiko aliran lahar.

“Abu tebal dan jika hujan lebat turun, kami meminta penduduk berwaspada dengan ancaman itu,” katanya.

Saunders berkata, fasa awal letusan sudah berakhir tetapi satu laluan baru dibuka, menunjukkan kemungkinan ada lebih banyak aktiviti.

Pusat Penasihat Abu Gunung Berapi Darwin (DVAAC) mengeluarkan amaran ancaman kepada industri penerbangan supaya menetapkan laluan semula kerana abu melebihi aras pesawat komersil.

Ia dijangka hilang dalam masa 12 jam lagi, kata pakar kaji cuaca di DVAAC, Amanda Alford.

SUMBER: REUTERS

Photo credit: @Seanirichards/@Scott_Waide/Twitter


Pengarang :