SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

PEKAWANIS rancang perkasa tiga golongan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 OGOS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) komited memberdayakan golongan ibu tunggal, kanak-kanak dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Yang DiPertuanya, Masdiana Muhamad berkata, PEKAWANIS kini merancang menjalinkan kerjasama dengan Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain untuk merangka pelbagai program.

Katanya, inisiatif terbabit bertujuanmemperkasakan golongan berkenaan dalam kehidupan seharian.

“PEKAWANIS juga berbincang dengan Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayan Wanita dan Keluarga, Dr Mariah Mahmud untuk sama-sama membantu kita dalam perkara ini.

“Ada banyak perkara atau idea yang saya fikirkan selepas berbincang dengan ahli jawatankuasa PEKAWANIS dan beberapa pihak lain, kita laksanakan pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Tadabbur Al-Quran yang diadakan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Masdiana berkata pihaknya mahu semua isteri Ahli Dewan Negeri (ADN) supaya terbabit dengan program yang dilaksanakan PEKAWANIS itu nanti.

Katanya, beliau juga mahu isteri-isteri ADN menjadi penaung Pusat Wanita Berdaya di kawasan masing-masing.

“Sebagai contoh, kita boleh merangka program khususnya pendekatan psikologi bagi wanita-wanita yang hilang tempat bergantung apabila diceraikan suami, hilang punca pendapatan, digantung tidak bertali atau sebagainya.

“Kita perlu memberikan sokongan moral khususnya selain membantu mereka membina kehidupan yang baharu,” katanya.

Terdahulu, Masdiana yang merupakan Isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dilantik menjadi Yang DiPertua PEKAWANIS bagi mengantikan Datin Seri Shamshida Taharin.

Pelantikan itu dilakukan selepas Mesyuarat Agung Khas Pekawanis 2018, 10 Ogos lalu.


Pengarang :