SELANGOR

Gunakan media sosial berhemah, jauhkan sebar fitnah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 OGOS: Masyarakat negara ini tidak wajar dikelirukan dengan penyebaran pelbagai berita palsu atau fitnah menerusi media sosial bagi tujuan sengaja membentuk persepsi negatif terhadap sesuatu isu.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Mohd Khairuddin Othman berkata, tindakan ini bukan sahaja tidak bermoral, bahkan mampu menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat.

“Pengguna media sosial mesti mempunyai peranan membentuk masyarakat yang mempunyai persepsi betul terhadap sesuatu perkara.

“Tindakan memutarbelit fakta hanya membentuk kefahaman salah di kalangan masyarakat walaupun kadang kala hanya melibatkan perkara kecil yang sudah dibetulkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras itu sebaliknya berkata, pengguna media sosial perlu berhati-hati dan memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum dikongsikan kepada pengguna media lain.

Kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan kepada masyarakat termasuk generasi muda yang bakal memimpin negara suatu hari nanti.

Katanya, generasi yang membesar dalam persekitaran dikelilingi masyarakat cenderung mempercayai berita palsu atau fitnah bakal memberi kesan kepada gaya pemikiran mereka.

“Generasi muda ini merupakan pemimpin pada masa akan datang dan sudah tentulah ini sesuatu yang tidak sihat untuk mereka membesar dalam persekitaran dipenuhi fitnah sana sini,” katanya.

Muktahir ini, semakin banyak lambakkan berita palsu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.


Pengarang :