SELANGOR

33 Kontraktor Panel Air Selangor cemerlang terima anugerah

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 28 SEPT: Kira-kira 33 Kontraktor Panel Air Selangor meraih anugerah dalam lima kategori menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan Kontraktor Panel 2017-2018, baru- baru ini.

Air Selangor menerusi kenyataannya berkata, majlis anugerah julung kali dianjurkan oleh Jabatan Perolehan itu bertujuan menghargai kontraktor yang berjaya mencapai prestasi kerja cemerlang.

“Kategori- kategorinya adalah Penyelenggaraan Paip, Penyelenggaraan Mekanikal dan Elektrikal, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kontraktor, Penghargaan Khas dan Kontraktor Terbaik Keseluruhan.

“Ia membabtikan kontraktor-kontraktor panel Air Selangor berkhidmat di 10 wilayah iaitu Petaling, Klang, Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam,” katanya.

Majlis disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, En Suhaimi Kamaralzaman dengan menyampaikan anugerah Kontraktor Terbaik Keseluruhan kepada Karuning Jati Sdn. Bhd.

Manakala Pengarah dan Ketua Operasi Air Selangor, Ir Abas Abdullah menyampaikan anugerah Penghargaan Khas kepada Genisan Construction and Engineering Works Sdn Bhd, bagi sokongan pemulihan cemerlang dalam dua kejadian kecemasan, baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Ir Abas berkata, penghargaan Air Selangor kepada semua kontraktor panel dipilih berdasarkan proses pemilihan yang diperketatkan dan telus sejak Air Selangor mengambilalih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abass Sdn Bhd dan Konsortium Air Selangor Berhad (KASB) pada Oktober 2015.

“Semua kontraktor panel sentiasa dipantau dan laporan prestasi mereka digunakan sebagai pengukur kemajuan mereka sejak dilantik sebagai kontraktor panel,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kontraktor panel mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan seiring dengan nilai-nilai yang diutamakan di Air Selangor.

“Semua kontraktor panel diseru merangkul keselamatan sebagai sebahagian daripada budaya dan nilai kerja mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perolehan Air Selangor, En Izuan Amir Mohamed Isa, dalam ucapan pembukaanya berkata, semua pemenang ini dinilai dan disaring untuk tempoh 18 bulan berdasarkan kepada kriteria ditetapkan sebelum dinamakan sebagai pemenang.

Beliau juga turut menggesa semua kontraktor panel Air Selangor agar sentiasa meningkatkan usaha dengan bertindakbalas pantas dalam membantu Air Selangor menjamin bekalan air yang berterusan kepada pelanggan.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Eksekutif Jabatan Kawal Selia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Marzuki Mohammad, dan wakil-wakil Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor dan Kuala Lumpur.


Pengarang :