BERITA UTAMANASIONAL

PRK Port Dickson: Pertembungan tujuh penjuru

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 29 SEPT: Pilihan Raya Kecil (PRK) P 132 Port Dickson menyaksikan pertembungan tujuh penjuru diantara Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PAS dan lima orang calon bebas.

Terdahulu, Anwar yang memakai sepasang baju Melayu biru KEADILAN memasuki dewan penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson dan menyerahkan borang pencalonan kira-kira jam 9.11 pagi.

Calon Pakatan Harapan (Pakatan) itu bakal turut berdepan dengan bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan (9.16 pagi).

Pertembungan Anwar dan Saiful itu dilaporkan kali pertama selepas kes mahkamah mereka.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad (9.01 pagi) menawarkan diri untuk memberi saingan atas tiket bebas selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan memboikot pilihan raya itu.

Manakala, calon PAS pula ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor, Leftenan Kololonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (9.04 pagi)

Personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong (9.04 pagi) bertanding tiket bebas, selain Lau Seck Yan (9.02 pagi) dan Kan Chee Yuen (9.06 pagi).

Pegawai Pengurus PRK, Khairy Maamor dalam pengumumannya memaklumkan kesemua calon layak bertanding pada PRK kali ini.

Proses penamaan calon bagi PRK Parlimen Port Dickson bermula jam 9 pagi.

Kerusi Port Dickson kosong selepas Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Danyal menang dengan majoriti 17,710 menewaskan calon BN, Datuk VS Mogan dan calon PAS, Mahfuz Roslan.

Ini adalah PRK keempat sejak PRU-14.

Tiga PRK yang diadakan sebelum ini ialah bagi kerusi DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, semuanya di Selangor.

Kira-kira jam 8 pagi tadi, kira-kira 1,000 penyokong Pakatan berarak ke pusat penamaan calon, melaungkan reformasi dan memukul gendang.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari turut hadir.


Pengarang :