BERITA UTAMASELANGOR

MB ucap takziah kematian enam anggota bomba, hargai pengorbanan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah buat keluarga enam anggota bomba Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang meninggal dunia akibat lemas di sebuah lombong, di Taman Putra Perdana, Puchong, malam tadi.

“Inalillahwainailaihirajiun. Takziah buat keluarga anggota penyelamat JBPM yang lemas ketika menyelamatkan remaja yang jatuh.

“Pengorbanan mereka yang sanggup mengadai nyawa sungguh mengharukan.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Al Fatihah,” tulis Amirudin menerusi Twitternya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam tadi, enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor terkorban ketika giat menjalankan usaha mencari dan menyelamat seorang remaja yang dilaporkan tergelincir ketika sedang memancing di kawasan lombong berkenaan.

Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada pusaran air deras yang terjadi susulan hujan lebat sejak petang semalam sehinga menyebabkan tali dipasang mereka terbelit antara satu sama lain di dasar lombong.

Empat daripada mangsa terkorban termasuk anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Manakala dua lagi anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Bagaimanapun, operasi mencari remaja yang hilang itu ditangguhkan buat sementara waktu ekoran cuaca gelap dan akan disambung pada pagi ini.

 


Pengarang :