PBTSELANGOR

MBSA tumpu perbelanjaan mengurus pada Belanjawan 2019

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal memberi tumpuan khusus kepada perbelanjaan mengurus, pada Belanjawan 2019.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, ia membabitkan perbelanjaan RM339.38 juta, manakala pembangunan RM119.14 juta.

Katanya, menerusi belanjawan itu, anggaran perbelanjaan mengurus menurun RM19.04 juta, iaitu 5.3 peratus berbanding 2018.

“Perbelanjaan mengurus ini antaranya ialah menyelenggara jalan dan longkang terutama di kawasan perumahan dan kawasan bandar untuk keselesaan masyarakat yang bermastautin di bawah MBSA.

“MBSA akan turut memberi perhatian kepada pengurusan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam sebagai usaha mengekalkan Shah Alam sebagai bandar raya bersih dan indah,” katanya pada sesi pembentangan belanjawan, pada 2 Oktober lalu.

Pada masa sama, Ahmad Zaharin berkata, melalui perbelanjaan pembangunan, MBSA mengambil langkah meningkatkan projek naik taraf bangunan dan infrastuktur, di sekitar bandar raya itu.

“Antara projek itu ialah pembinaan trek basikal sepanjang 15 kilometer (km) sebagai usaha menggalakkan masyarakat menjadikan basikal sebagai pengangkutan utama, di Shah Alam.

“Sebelum ini, kita membina trek basikal sepanjang 12.5 km yang siap, pada awal tahun ini dan MBSA mengambil inisiatif memperluaskan lagi trek berbasikal itu yang bertujuan menjadikan bandar Shah Alam rendah karbon menjelang 2030,” katanya.


Pengarang :