PBTSELANGOR

Hari Habitat Sedunia 2018 galak persekitaran kondusif

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 5 OKT: Sambutan Hari Habitat Sedunia 2018 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Dataran Boulevard, di sini, baru-baru ini, dilihat mampu meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan kepentingan tempat tinggal kondusif dan selesa serta pengurusan sampah.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat MBPJ dalam kenyataan berkata, sambutan itu adalah acara peringkat global yang dilaksanakan semua negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Isnin minggu pertama bulan Oktober setiap tahun.

Katanya, selaras dengan tema ‘Municipal Solid Waste Management’, sambutan itu menonjolkan konsep kitar semula sebagai salah satu aspek pengurusan sampah dan peranan pihak swasta dalam penjagaan kebersihan persekitaran.

“Pihak kami merancang tiga aktiviti utama iaitu mewujudkan kerjasama dengan Green Movers Club dari German-Malaysia Institute (GMI) dan menubuhkan Anti Littering Squad.

“Penubuhan skuad itu terdiri daripada pelajar GMI yang ditugaskan untuk mengutip sampah kecil seperti resit, sisa rokok dan bungkusan makanan dengan pengepit.

“Kami turut mengedarkan risalah penjagaan kebersihan di sekitar pusat bandar Seksyen 52, Seksyen 8 dan Seksyen 14, pada jam 11.30 pagi hingga 1.30 tengahari, pada hari bekerja dan setiap pasukan dilengkapi dengan peralatan seperti pengepit, cangkul serta risalah,” katanya.

MBPJ berkata, pihaknya juga memperkenalkan ‘3R Market’ dengan menjual barangan terpakai dan bahan organik sebagai usaha menggalakkan amalan kitar semula yang menjadi elemen utama dalam pengurusan sisa pepejal berkesan.

Katanya, pasar berkenaan turut menjadi eksperimen sosial bagi melihat penerimaan masyarakat berkenaan barangan kitar semula.

“Maklum balas diterima akan digunakan untuk penambahbaikan terhadap program kitar semula sedia ada, pada masa akan datang dan ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang kepada semua pelawat,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya turut mengadakan lawatan teknikal ke Worldwide Environment, di Jeram Sanitary Landfill, Kuala Selangor membabitkan orang awam dan kakitangan MBPJ bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan sampah di Selangor, khasnya di kawasan Petaling Jaya.

Turut hadir dalam program itu ialah Datuk Bandar MBPJ, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.


Pengarang :