NASIONAL

Tun Zaki dilantik Ketua Hakim Mahkamah DIFC

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Bekas Ketua Hakim Malaysia, Tun Zaki Mohamed Azmi dilantik sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tengah Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC), berkuat kuasa 14 November ini.

Pejabat media Kerajaan Dubai dalam kenyataan berkata, pelantikan itu dilakukan pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Zaki, 73, menyertai Mahkamah DIFC pada Disember 2013, kira-kira dua tahun selepas beliau bersara sebagai Ketua Hakim Negara ini.

Mahkamah DIFC mengendalikan masalah sivil dan komersial di Dubai, satu daripada pusat kewangan terkemuka di dunia.

Ia termasuk masalah berhubung dari pemindahan kewangan antarabangsa yang sofistikated hinggalah kepada kutipan hutang dan pekerjaan.

Bercakap kepada BERNAMA, Zaki yang berada di Dubai berkata, pelantikan itu datang dengan ‘penuh kejutan’.

“Alhamdulillah, saya dua kali menjadi Ketua Hakim,” katanya menerusi WhatsApp.

Pada September 2007, dari seorang pengamal peguam beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, pelantikan terus yang pertama seumpama dalam sejarah kehakiman Malaysia.

Dua bulan kemudian, beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan sebelum menjadi Ketua Hakim, pada Oktober 2008 sehingga bersara, pada September 2011.

Selain itu, Zaki dilantik Ketua Hakim Malaysia dan yang pertama dalam sejarah dunia apabila seorang ayah dan anak pernah mengetuai badan kehakiman negara.

Bapanya, Allahyarham Tun Mohamed Azmi Mohamed adalah Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan dari 1968 hingga 1974.


Pengarang :