EKONOMI

MITI kenal pasti 500 PKS untuk beralih kepada teknologi IR4.0

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengenal pasti sebanyak 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk diletakkan dalam program Penilaian Kesediaan Revolusi Industri 4.0.

Pengarah Kanan Dasar Pelaburan dan Fasilitasi Perdagangan, MITI ​Faizal Mohd Yusof berkata sebanyak RM210 juta akan diperuntukkan di bawah program itu yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 bagi menggalakkan peralihan perniagaan kepada teknologi Industri 4.0 bermula 2019 hingga 2021.

“Panduan bagi program itu akan berdasarkan ujian perintis ke atas 22 syarikat dan akan dilaksanakan pada tahun depan,” katanya kepada pemberita pada forum ‘Stratum Focus Series’ ketujuh di sini hari ini.

Beliau berkata program tersebut akan membolehkan kementerian mengukur tahap kesediaan PKS ke arah penggunaan teknologi Industri 4.0.

“Ia membolehkan kita mengetahui tahap mereka (PKS) ketika ini dan bagaimana kerajaan dapat membantu dari segi pembiayaan atau insentif, selain mengenai hala tuju,” katanya.

Naib Presiden Eksekutif Pemandu Associates Sdn Bhd Yong Yoon Kit berkata inisiatif itu menunjukkan kerajaan mengiktiraf kepentingan Industri 4.0 dan kesannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Bagaimanapun, katanya bagi merealisasikan penggunaan teknologi Industri 4.0, syarikat perlu memahami teknologi itu dan komited untuk berubah, selain bersedia untuk membuat pelaburan yang besar.

“Komitmen mesti daripada pengurusan sehingga pekerja dan proses untuk menguruskan peralihan ini penting,” katanya.

Pengerusi Institut Automotif Malaysia Datuk Phang Ah Tong berkata ia merupakan langkah yang baik bagi negara menilai kesediaan PKS ke arah Industri 4.0.

“Industri 4.0 amat teknikal. Ia memerlukan sokongan yang kukuh daripada tenaga kerja dan mereka perlu bersedia ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata program itu juga dapat mengenal pasti jenis industri yang bersedia untuk menggunakan teknologi Industri 4.0.

Forum anjuran Bursa Malaysia Bhd dan Hong Leong Investment Bank bertemakan ‘Industri 4.0: Menginsankan Jentera, Inovasi Ekonomi’ (Humanising Machines, Disrupting Economies) itu dihadiri kira-kira 100 peserta daripada komuniti pelaburan dan pelbagai industri yang menerima kesan daripada Industri 4.0.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :