NASIONAL

Haniza Ketua Wanita, Daroyah timbalan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 NOV: Pemilihan KEADILAN 2018 dalam merebut jawatan Ketua Wanita memihak kepada Haniza Talha, bergandingan dengan Dr Daroyah Alwi selaku timbalan, bagi sesi 2018-2021.

Haniza yang juga EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor berkata, pemilihan pimpinan wanita baharu itu adalah gandingan muka baharu dan lama merentasi Sabah, Sarawak serta negeri lain.

“Gabungan mantap ini akan membawa agenda KEADILAN sebelum ini dan saya meletakkan harapan tinggi kepada pasukan baharu untuk memberikan idea segar serta boleh diterima juga dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikia dalam sidang media selepas tamat Kongres Nasional Tahunan Wanita ke-13, bertemakan Wanita Muafakat Terus Mara, di IDCC, di sini.

Pada masa sama, Haniza turut mengajak pimpinan wanita baharu untuk bersama memikirkan hala tuju asas perjuangan parti dan memenuhi hasrat rakyat.

“Selepas ini, saya akan berjumpa dengan Ketua Cabang Wanita baharu dan akan menjelajah seluruh negara bagi mendengar serta merancang pelan tindakan seterusnya.

“Terima kasih kepada semua ahli parti kerana memilih pimpinan baharu ini dan sudah tentu banyak tanggungjawab menanti selepas ini,” katanya.

Pemilihan kali ini turut menyaksikan Faizah Arifin, Sangetha Jayakumar dan S Wasanthee sebagai Naib Ketua Wanita bagi Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat.


Pengarang :