Selangorkini
NASIONAL

Afif yakin Akmal mampu laksana amanah

ccsb-ads

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 NOV: Bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Dr Afif Bahardin yakin Akmal Nasir mampu memikul tanggungjawab sebagai Ketua AMK baharu.

Sambil mengucapkan tahniah, beliau yang juga calon Ketua AMK memaklumkan akan bertemu penyokongnya, di seluruh negara supaya dapat memberi sokongan kepada Akmal.

“Saya merakamkan tahniah kepada Akmal dan saya yakin beliau dapat laksanakan (tugas) sebaik mungkin, sekali gus membubarkan pasukan KEADILAN Masa Hadapan, yang hanya adalah pasukan kepimpinan baharu.

“Saya juga yakin Hilman (Idham-timbalan) dapat membantu dan mendukung Ketua AMK baharu,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan peringkat AMK Pusat oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat, pada Kongres AMK di IDCC di sini, hari ini.

Walaupun tewas, beliau turut melahirkan rasa bangga apabila hampir kesemua ahli pasukannya menang dalam jawatan ditandingi masing-masing.

Beliau turut menjelaskan air mata yang mengalir ketika berucap atas dasar terharu melihat sokongan padu diberikan kepadanya.

“Saya menangis bukan kerana kalah tetapi kerana sokongan padu rakan yang melihat mereka menangis menyebabkan saya tersentuh,” katanya.

Terdahulu, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dinobatkan sebagai Ketua AMK selepas menewaskan dua calon lain, Afif dan Najwan Halimi, bagi sesi 2018-2021.

Manakala Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham pula memenangi jawatan Timbalan Ketua AMK selepas menewaskan Naqiuddin Nazrin dan Raymond Ahuar.

Sementara tiga pemenang bagi kerusi Naib Ketua pula adalah Jestin Raj Savarimuthu, Mohd Nazree Mohd Yunos dan Tiban a/l Subraniam.

Manakala 20 lagi diumumkan memenangi kerusi EXCO AMK pusat bagi penggal sama.

 


Pengarang :