BERITA UTAMASELANGOR

Bangunan Ibu Pejabat PKNS terima pengiktirafan Malaysia Property Award 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Bangunan Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diiktiraf sebagai pemenang anugerah berprestij Malaysia Property Award 2018 bagi kategori ‘Office’ anjuran Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI)-Malaysia.

Anugerah ini diberikan pada 17 November lalu yang disampaikan Yang Amat Mulia (YAM) Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz kepada Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Noraida Mohd Yusof.

Noraida berkata, ini merupakan pengiktirafan pertama yang diterima Bangunan Ibu Pejabat PKNS pada Malaysia Property Award dan ke-12 sebagai mercu tanda ikonik terbaharu di Shah Alam.

“PKNS merupakan salah satu daripada 9 penerima anugerah pada acara penuh gilang-gemilang tersebut. Ia melambangkan bangunan ini berada di dalam kelasnya yang tersendiri dengan menerima pelbagai pengiktirafan bukan sahaja di peringkat tempatan malahan antarabangsa,” katanya.

Bangunan Ibu Pejabat PKNS yang terletak di Seksyen 14 Shah Alam merupakan ikon terkini di Shah Alam dengan seni bina moden berteknologi tinggi serta penarafan Double Platinum Green Building Index (GBI).

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan bangunan berkenaan pada 1 Ogos 2017 bersempena ulang tahun penubuhan PKNS yang ke-53.

Berkeluasan 4.6 ekar, ia dilengkapi insfrastruktur berteknologi tinggi dan tatarias moden dengan landskap indah di aras bumbung berlatarkan pemandangan Masjid Negeri, Bangunan Kerajaan Negeri dan Taman Tasik Shah Alam.


Pengarang :