NASIONAL

Azwanddin direman empat hari, bantu siasatan

SHAH ALAM, 27 DIS: Mahkamah Majistret Klang, dekat sini, mengeluarkan perintah tahanan reman empat hari bermula hari ini ke atas Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur ugutan dikeluarkannya pada satu perhimpunan di Klang, Selasa lalu.

Perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Azwanddin yang juga adalah Penasihat Gagasan Tiga Malaysia (G3) diwakili peguam, Datuk Imran Tamrin.

Pada perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy’ anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni, Klang, dekat sini Selasa lalu, Azwanddin dalam ucapannya mengeluarkan kenyataan provokasi antara lain mengugut untuk menyerang Balai Polis Klang jika pihak berkaitan dalam kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

Susulan itu, Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan aktivis itu ditahan pada 2.40 petang semalam di Kompleks Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutannya untuk menyerang balai polis.

Muhammad Adib yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia di Institut Jantung Negara, 17 Disember lalu, selepas bertarung nyawa kira-kira tiga minggu susulan kecederaan parah dialami akibat diserang kumpulan perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, November lalu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :