SELANGOR

Lapor jika ragu, boikot bila terbukti bersalah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 DIS: Umat Islam disaran membuat laporan segera sekirannya mendapati kerja penyembelihan di pusat sembelihan meragukan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, umat Islam perlu memboikot sekirannya kerja penyembelihan di pusat itu terbukti bercanggah dengan syariat Islam.

“Jangan ingat tempat yang kita anggap halal, kita boleh percaya sepenuhnya.

“Pastikan mereka mempunyai status halal daripada pihak bertanggungjawab dan barulah ia boleh dipercayai,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini, tular sebuah rakaman video berdurasi tiga minit 40 saat apabila memaparkan seorang pekerja menyembelih beberapa ekor ayam tanpa mengikut hukum syarak sebelum dibiarkan mati dengan mencampakkannya ke dalam bekas besar berisi air.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Seri Kembangan itu turut menunjukkan ayam disembelih diuruskan di atas lantai simen yang dipenuhi darah oleh beberapa pekerja lain.

Sementara itu Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim berkata, pihaknya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya telah mengenal pasti lokasi premis berkenaan dan telah menjalankan siasatan.

“Laporan berkaitan akan dikeluarkan kemudian setelah siasatan lengkap dilakukan,” katanya.


Pengarang :