NASIONAL

Polis buru 2 suspek menyamar pegawai tentera

TAMPIN, 29 DIS: Polis sedang giat memburu dua suspek lelaki yang didakwa menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat kolonel dan cuba memasuki kem Batalion Kedua Rejimen 508 Askar Wataniah di sini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Ramli Kasa berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang pada 8 Dis lalu namun laporan polis hanya dibuat semalam oleh pihak tentera.

“Berdasarkan laporan itu, dua lelaki cuba memasuki kem tentera itu dengan menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat kolonel, tetapi tidak dibenarkan (masuk) dan kemudian mereka melarikan diri.

“Kami belum pasti apa motif mereka dan kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam,” katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan suspek yang berpakaian seragam tentera itu gagal memasuki kem tersebut selepas dihalang oleh anggota yang bertugas mengawal pintu masuk kem berkenaan.

Suspek gagal mengemukakan bukti mereka pegawai tentera selepas anggota tentera berkenaan meminta mereka berbuat demikian kerana mendapati usia lelaki terbabit tidak sepadan dengan pangkat kolonel pada pakaian tentera yang dipakai mereka.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :