SELANGORSUKANKINI

Kaka harap lebih banyak penganjuran sukan ekstrem di Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 29 DIS: Artis popular, Nor Atiqa Noor Azraff atau lebih terkenal dengan nama Kaka berharap lebih banyak penganjuran acara sukan ekstrem di Selangor diadakan.

Penyanyi, pengacara dan pelakon yang terkenal dengan single ‘Bawaku Pergi’ itu berkata, acara seperti ini juga boleh diselitkan dengan pelbagai program kesedaran seperti mana yang terdapat dalam Festival Belia Ekstrem Antarabangsa Selangor 2018 (#SIYEF2018).

“Ini event yang baik untuk keluarga dan pada masa sama kita dapat mendidik orang ramai tentang cara hidup sihat, penyalahgunaan dadah dan pelbagai impak positif lain.

“Diharap program seperti ini akan diadakan lebih banyak lagi supaya kita dapat mendidik masyarakat dan pada masa sama kita boleh berekreasi bersama,” katanya kepada Media Selangor pada acara #SIYEF2018 di Gua Wira Damai Batu Caves di sini, hari ini.

#Selain aktiviti sukan lasak, SIYEF2018 yang diadakan pada 29 dan 30 Disember ini turut menawarkan pelbagai aktiviti lain seperti bual santai membincangkan isu penyalahgunaan dadah dalam Program Gegar Dadah.

Sementara itu, Naib Pengerusi Pemadam Selangor, Radzlan Jalaluddin, festival seperti ini mampu menarik lebih ramai golongan belia untuk sertainya.

Katanya, acara seperti ini boleh menanam hobi baru di kalangan generasi muda sekaligus dapat mengelakkan golongan itu terjebak dengan penagihan dadah.

“Kita perlu isikan masa remaja kita dengan aktiviti berfaedah misalnya seperti festival hari ini supaya dapat megelakkan mereka mempunyai banyak masa terluang begitu sahaja dan akhirnya memberi ruang kepada mereka untuk mencuba dan terlibat dalam aktiviti pengambilan dadah,” katanya.

“Selain mampu mendidik generasi muda menjauhi dadah, aktiviti seperti ini juga mendidik masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas,” katanya lagi.


Pengarang :