AGAMASELANGOR

Kukuh ukhuwah persaudaraan, pelihara keharmonian Islam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 JAN: Rangkaian ukhuwah dan jalinan persaudaraan sesama muslim perlu sentiasa diperkukuh demi memelihara keharmonian sejagat, sekali gus memastikan kekuatan umat Islam tidak goyah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, masyarakat diingatkan supaya tidak sesekali meruntuhkan hubungan itu kerana persaudaraan umat Islam adalah unik.

Katanya, sejarah itu sendiri mengajar masyarakat muslim berkenaan ulama silam Nusantara yang bekerja keras menjalin ukhuwah demi mengekalkan persaudaraan dalam kalangan umat Islam.

“Contohnya, ulama berani seumpama Syeikh Yusuf Makassar juga digelar al-Taj al-Khalwati, bermaksud mahkota Tarekat Khalwati, yang dari Sulawesi berkelana ke Acheh dan kemudiannya ke Tanah Arab sehingga ke Damsyik Syria semata-mata untuk menuntut ilmu.

“Beliau mendapatkan barakah ulama muktabar dan setelah berpuluh tahun, pulang ke Nusantara serta mencurahkan ilmu kepada penuntut tempatan.

“Penuntut ini kemudiannya akan meneruskan kesinambungan guru mereka dan berkelana ke merata tempat sama ada untuk menuntut ilmu mahupun menyebarkan Islam kepada penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Menangani Gejala Sosial : Smart Selangor, Safe Community Sempena Ambang Tahun Baru 2019, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, malam tadi.

Selain meneladani usaha memperkukuh ukhuwah itu, Amirudin berkata, umat Islam juga wajar meniru kecekalan Syeikh Yusuf Makassar yang istiqamah menuntut ilmu dengan ulama muktabar dan berwibawa.

“Syeikh Yusuf belajar dengan Syeikh Ibrahim al-Kurani di Madinah, antaranya bertalaqi kitab al Durrah al-Fakhirah yang ditulis oleh anak murid Syeikh al Akbar Ibnu Arabi, Abdul Rahman al-Jami’.

“Beliau juga adalah guru kepada Ulama Nusantara terkenal iaitu Abdul Rahman Singkel,” katanya.

Katanya, pengorbanan ulama silam dalam memperkukuh persaudaraan dan menyebarkan ilmu harus dicontohi umat Islam supaya memperoleh manfaat serta dapat keluar daripada kejahilan.


Pengarang :