Selangor menguatkuasakan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainaan serta rekreasi.
AGAMASELANGOR

Sudah sampai masa hormati golongan tidak merokok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 JAN: Larangan merokok yang dikuat kuasakan kerajaan di semua premis makanan dan restoran, bermula tengah malam tadi disifatkan tepat pada masanya.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor (PITAS), Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa Al-Hafiz berkata, langkah itu sesuai bagi menghormati kumpulan yang tidak merokok.

Katanya, Jawatankuasa Fatwa Selangor turut mewartakan fatwa pengharaman rokok, berkuat kuasa pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989.

“Di dalam enakmen itu dijelaskan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi orang Islam.

“Sementara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia: Muzakarah kali ke-37 pada 23 Mac 1995 memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam,” katanya melalui posting di Instagram.

Pada masa sama, katanya, petikan ayat melalui buku Rokok dan Keharamannya oleh Abdullah Abdul Rahman al-Sind memberitahu seandainya setitik daripada nikotin diletakkan di atas lidah seekor anjing, nescaya haiwan itu akan mati serta merta.

Katanya, ia dengan jelas membuktikan keburukan merokok kerana anjing adalah sejenis haiwan yang lebih tahan menghadapi racun berbanding manusia.

“Firman ALLAH SWT melalui Surah Al-Baqarah 2: 195, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dengan bersikap bakhil,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Selain kawasan yang sedia maklum seperti tempat awam dan bangunan kerajaan, arahan larangan merokok kini membabitkan semua premis makanan, antaranya restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka.


Pengarang :