SELANGOR

Bayar cukai taksiran sebelum 28 Februari elak denda – MPS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SELAYANG, 4 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengingatkan orang ramai supaya menjelaskan bayaran cukai taksiran bagi penggal 1/2019, sebelum 28 Februari ini.

MPS menerusi kenyataan berkata, bayaran diterima selepas tarikh ditetapkan itu akan dikenakan caj lewat sebanyak RM20.

“Waran tahanan sebanyak RM100 pula akan dikeluarkan kepada mereka yang gagal membayar cukai terbabit pada 1 April.

“Bagi memudahkan orang ramai, MPS akan membuka kaunter bergerak pada setiap hari termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum sehingga 28 Februari mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Hasil di talian 03-61265961/03-61265963/03-61265964 atau layari laman sesawang MPS: www.mps.gov.my untuk maklumat lanjut.


Pengarang :