NASIONAL

29 lagi Gerai Buah-Buahan Segar FAMA seluruh negara

TAWAU, 4 JAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk menambah 29 lagi Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) di seluruh negara, pada tahun ini, kata Pengerusinya, Ishak Ismail.

Ishak berkata, terdapat 339 GBBS di seluruh negara dengan nilai jualan untuk tahun lalu mencecah RM110 juta, sehingga November.

“Kami akan wujudkan 29 lagi GBBS antaranya dua medan GBBS di Melaka, tiga di Negeri Sembilan dan tiga GBBS diangkat sebagai Agro Khas Pelancongan di Perak, Selangor, Kuala Lumpur serta Tawau,” katanya lapor BERNAMA pada lawatan kerja ke GBBS Sabindo, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, FAMA juga akan membimbing 10 individu pemilik GBBS dan menaik taraf 14 GBBS sedia ada dengan peruntukan RM960,000.

Katanya, ia bertujuan ke arah mewujudkan suasana yang lebih menarik di gerai GBBS dan mampu mengangkat nilai pendapatan usahawan terbabit serta memudahkan orang awam mendapatkan buah-buahan segar.

Ishak berkata, GBBS diperkenal bagi mengatasi masalah lambakan buah-buahan terutama pada musim kemuncak selain sebagai tarikan kepada pelancong yang datang ke negara ini.

Katanya, buah-buahan yang dijual di GBBS sudah melalui proses penggredan yang mempunyai kualiti terbaik.

Pada masa sama, beliau berkata, beberapa lokasi dikenal pasti bagi mewujudkan tapak GBBS di Sabah antaranya Kota Kinabalu dan Tuaran.

Katanya, bagi GBBS Sabindo Tawau yang menempatkan 10 usahawan sudah merekodkan pencapaian yang memberangsangkan dengan jumlah hasil pendapatan RM2 juta.

“Saya lihat konsep yang dibuat di sini sangat menarik dan ia akan dijadikan salah satu contoh GBBS di negara ini melalui cara susunan, kebersihan serta abel buah tersusun,” katanya.

Pada lawatan sama, Ishak turut berkesempatan meninjau Medan Trak Makanan Tawau di bawah Program FAMA, di Jalan Bunga Tanjung.

Beliau berkata, terdapat 600 pengusaha Trak Makanan di bawah Program FAMA di seluruh negara dan menyasarkan 700 usahawan Trak Makanan dapat dicapai, pada tahun ini.

 

 


Pengarang :