SELANGOR

SPR terima notis kekosongan DUN Semenyih

PUTRAJAYA, 15 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, mengesahkan menerima pemakluman rasmi kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih berikutan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lalu.

Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, pemakluman rasmi itu diterima daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Ng Suee Lim, semalam.

Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun di ibu pejabat SPR, pada Jumaat ini.

“Mesyuarat khas tersebut akan membincangkan tarikh-tarikh penting pilihan raya kecil (PRK) seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bakhtiar, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 4.45 pagi Jumaat lepas akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan calon BN, PAS dan PSM dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 8,964 undi.

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

 

 


Pengarang :