SELANGOR

Curi kabel berleluasa di DUN Pelabuhan Klang

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 17 JAN: Kejadian kes curi kabel dan vandalisme pada ‘Feeder Pillar’ pencawang elektrik semakin berleluasa, di kawasan Pelabuhan Klang.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata, kes curi itu dikenal pasti sebagai punca utama yang menyebabkan tahap pencahayaan lampu jalan awam terjejas.

“Pencawang kepunyaan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) ini sering kali menjadi tumpuan kegiatan mencuri oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Walaupun sudah beberapa kali dibaiki, namun masalah sama sering berlaku,” katanya yang melakukan tinjauan bersama Jabatan Kejuruteraan MPK dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik JKR Klang.

Hadir sama, Ahli Majlis MPK N46C Norazah Said, Ahli Majlis MPK N46B Puspavali dan Setiausaha Ahli Majlis, MPK N46A Shaiful Iman Shahbudin.

Azmizam berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa kawasan ‘hot spot’ antaranya Jalan kem, Lebuharaya Pulau Indah dan Laguna Park.

Justeru, katanya, satu tindakan susulan akan dibincangkan bersama agensi kerajaan terbabit untuk membincangkan cara bagi mengatasi masalah kecurian kabel daripada terus berlaku.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang melihat aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan supaya menghubungi pihak polis.

“Ia supaya siasatan dapat dibuat untuk memastikan sama ada mereka ini merupakan pekerja sahih yang melakukan kerja baik pulih ataupun sindiket mencuri kabel,” katanya.


Pengarang :