SELANGOR

Dasar Komuniti Negara MPSJ dilancar Februari ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 19 JAN: Pelancaran Dasar Komuniti Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan dilaksanakan di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pada pertengahan Februari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, proses menaik taraf pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit kepada status bandar raya perlu dipercepatkan bagi memastikan pelancarannya berjalan sempurna.

“Pelancaran Dasar Komuniti Negara di MPSJ akan dibawa turun oleh Ahli Majlis ke peringkat Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan komuniti setempat.

“Saya berharap Ahli Majlis yang memimpin JKP di kawasan masing-masing harus menjadi satu ejen kepada kerajaan Persekutuan untuk menyampaikan kepada penduduk dan rakyat secara keseluruhannya kerana dalam era kerajaan baharu kali ini kita menekankan pemberdayaan komuniti.

“Subang Jaya memiliki komuniti yang elit dan berpelajaran serta kedudukan lebih tinggi, maka saya merasakan lebih mudah untuk memberdaya mereka kerana mereka tahu polisi, undang-undang dan akta yang dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk dan Zon Bersih JKP peringkat MPSJ 2018, di Holiday Villa Hotel, di sini, semalam.

Turut hadir, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha; EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze; Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan dan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohammad Zulkarnain Che Ali.

Pada masa sama, Zuraida berkata, pihaknya memberi penekanan khusus terhadap Dasar Komuniti Negara dalam kelompok B40 supaya taraf kehidupan golongan terbabit tidak dipinggirkan, sebaliknya terus dipertingkatkan.

Katanya, jika cara kehidupan golongan B40 dapat dipertingkatkan, maka impak transformasi itu akan dirasai bukan sahaja seluruh rakyat tetapi turut melonjakkan nama negara ke tahap lebih tinggi.

“Justeru, Ahli Majlis dan JKP perlu menekankan pendekatan kepada golongan ini untuk pastikan mereka memiliki perumahan selesa. Dengan adanya perumahan selesa, saya yakin semangat mereka juga berbeza, bahkan cara dan kualiti hidup akan berbeza selepas ini.

“Selepas pelancaran itu nanti, Ahli Majlis perlu menjalankan program di peringkat persatuan penduduk di seluruh kawasan pentadbiran MPSJ dan melihat bagaimana golongan ini dapat diberdayakan.

“Saya juga meminta MPSJ mengekalkan perancangan teratur dan pembangunan tersusun. Jika mahu menjadi sebuah bandar raya, maka ia perlu menjadi banda raya contoh, dinamik dan disegani,” katanya.

 


Pengarang :